Friday 25 August 2017

Optimumkan Masa yang Terhad.

Bertindaklah setelah berfikir. Bukannya membuta tuli. Tindakan yang penuh keikhlasan setelah dirancang teliti berdasarkan idea pemikiran yang betul pasti akan memberi hasil kerja yang terbaik. 



Hassan al-Banna pernah berkata: "Kerja kita lebih banyak dari waktu yang kita ada, Setelah selesai suatu ibadah, mulakan ibadah yang seterusnya". Allah berfirman: "Apabila selesai suatu urusan, tetaplah bekerja keras untuk urusan yang lain pula" (Surah As-Sharh 94:7).

Optimumkan ruang waktu yang ada;

#1 Dengar dengan baik and kuasai sepenuhnya. => Bila saja berpeluang mendengar nasihat, atau mempelajari ilmu baru, dengar dengan teliti. Lebih baik sekiranya boleh dicatat isi pentingnya. Kerana dengan memberi tumpuan sepenuhnya akan mengundang keberkatan. Selain berguna untuk membetulkan diri sendiri, ilmu yang didapati akan dapat dikongsikan dengan lebih ramai orang.

#2 Melakukan kerja dengan panduan ilmu yang mantap. => Ilmu adalah asas kepada tindakan. Orang yang berilmu bertindak dengan penuh hikmah. Impaknya besar dan manfaatnya boleh tersebar luas. Menyediakan ruang syafaat kepada pelakunya, yang terkesan dengannya, dan yang mengamalkannya. Dengan ilmu, kesilapan amat minimal dan dengan waktu yang singkat dapat membetulkan kembali kesilapan yang berlaku.

#3 Fokus sepenuhnya. => Ketelitian akan mengundang kepada keberkesanan amalan yang dilakukan. Kerja yang berfokus adalah suatu usaha bagi memastikan kecemerlangan. Tanpa fokus segala kerja jadi tergendala dan terbengkalai disebabkan konflik halatuju telah membantutkan usaha untuk menyempurnakannya. Tanpa fokus, bebanan kerja menjadi besar kerana berlaku ulangan tanpa kemajuan, malah tetap ditakuk yang sama.

#4 Rancangan yang teliti.=> Merancang itu MESTI. Sebarang tindakan tanpa rancangan, risikonya GAGAL. Merancang dapat uruskan masa terhad dengan baik. Masa yang ada dengan mudah dapat disusun mengikut kesesuaian dan keperluan sesuatu tugas yang perlu diselesaikan. Dengan adanya panduan/ rancangan kerja yang teratur dan tersusun akan memastikan urusan diselesaikan secara lebih sistematik dan mudah. Yang paling penting tanpa cela.

#5 Elakkan ganguan. => Gangguan merupakan hal utama yang membuatkan kita terbuai dengan perkara yg menyeronokkan. Lupa pula dengan agenda utama yang perlu segera dilangsaikan. Cemerlang sukar digapai disebabkan gangguan. Ianya membantutkan usaha kecemerlangan. Teknologi sering dikaitkan sebagai ganguan yang  menyekat usaha untuk merealisasikan objektif yang utama. Sebaliknya, teknologi mungkin menjadi pemangkin. Kitalah yang menentukannya, membiarkan teknologi mencuri masa yang ada, atau memberi kesan positif sementara masih ada masa.

#6 Melakukan agihan tugas. => Bagi pelaksanaan tugasan secara berkesan, agihan tugas boleh jadi sebab  untuk mempercepatkan proses. Agihan sangat membantu kerana tugasan menjadi lebih baik apabila ianya dikendalikan oleh seseorang yang cekap dan mahir dalam bidang tersebut. Belajarlah untuk menyerahkan tugas2 tertentu supaya ianya dikendalikan oleh tangan yang lebih berhak. 

#7 Usah bertangguh.=> Bersegera melakukan tugasan yang diamanahkan. Bersegera dalam pelaksanaan akan memastikan lebih ramai dapat menyumbang kepada keberhasilan sesuatu kerja. Bertangguh akan mengurangkan kualiti masa. Ini kerana, kebanyakkan hal menjadi kurang kerana kurangnya sentuhan berhati-hati dalam tugas, sesetengah tenaga kerja tidak dapat dikerah sepenuhnya kerana kesuntukkan masa. Ini adalah antara hal kerugian sekiranya bertangguh dijadikan rutin.

"Manfaatkan Setiap Saat yang Ada, Setiap Hasil dijamin Tinggi Kualitinya"

Wassalam.

No comments:

Post a Comment